Powered By Blogger

Sabtu, 21 Mac 2009

Mohd. Anis Mohamad Lutfi dari Sekolah Madrasah Khairiah Islamiah, Pokok Sena yang mendapat 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

BUKIT MERTAJAM 20 Mac – Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang baru memberi jaminan kepada umat Islam di negeri ini bahawa kehormatan dan kesucian agama Islam sebagai agama rasmi negara akan terus terpelihara.

Timbalan Ketua Menteri 1, Mohammad Fairus Khairuddin berkata, kerajaan negeri akan sentiasa mengambil pendekatan yang berhemah dalam meningkatkan syiar Islam.

Menurutnya, semua perayaan agama Islam akan diteruskan di Pulau Pinang malah program sambutannya akan diperbaiki dari semasa ke semasa.

‘‘Kesungguhan kerajaan negeri dapat dilihat dengan kehadiran Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan ahli-ahli Exco dalam majlis hari ini,’’ katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Tapak Ekspo Seberang Jaya, di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.

Tambah Mohammad Fairus, kehadiran Guan Eng pada majlis sambutan Maulidur Rasul menunjukkan rasa hormat Ketua Menteri itu terhadap agama Islam.

Terdahulu, sebanyak 64 kontinjen yang terdiri daripada jabatan-jabatan kerajaan, agensi swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) berarak dari Masjid Seberang Jaya hingga ke tapak ekspo tersebut.

Mohammad Fairus turut menyeru generasi muda supaya mencontohi akhlak Rasulullah S.A.W agar menjadi generasi “Alkhairiyul Amin” iaitu generasi kuat iman, baik akhlak, bermoral, berilmu serta berusaha memajukan segenap aspek kehidupan.

Pada majlis itu, Abdul Rahman turut menyampaikan anugerah Tokoh Maulidur Rasul kepada bekas guru dan Imam Masjid Kampung Baru Tasek Gelugor, Said Saaban.

Yang Dipertua Negeri turut menyampaikan Anugerah Guru Cemerlang kepada Pengetua SMKA Daeratul Maarifil Wataniah, Pokok Senan, Hassim Salleh.

Turut menerima anugerah ialah tiga orang pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Lelaki) (SMKA) Al-Mashoor, Sungai Batu, Muhamad Shahril Mohd. Nasir dan Muhammad Bazli Rosli, yang masing-masing mendapat 9A dalam PMR.

Turut menerima anugerah Mohd. Anis Mohamad Lutfi dari Sekolah Madrasah Khairiah Islamiah, Pokok Sena yang mendapat 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mendapat Mumtaz dalam STAM.

Terdahulu, Abdul Rahman ketika menyampaikan ucaptamanya, meminta umat Islam menjadikan empat keperibadian Rasulullah sebagai panduan menjana semula kegemilangan ummah.

Katanya, empat perkara itu ialah akhlak dan tingkah laku terpuji, keperibadian yang sempurna, tutur bicara yang selari dengan tindakan dan perbuatan serta bijaksana dan hikmah dalam tindakan.

Menurutnya, perkara tersebut merupakan resipi kejayaan yang dapat dijadikan panduan bagi umat Islam mahupun yang bukan beragama Islam.sumber utusan

Tiada ulasan: